Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 Jun. - Hari Penderma Darah Sedunia disambut setiap tahun di seluruh dunia pada setiap 14 Jun sebagai satu inisiatif global untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang keperluan darah dan produk darah yang selamat dan mampan.
Sambutan ini bertujuan untuk menzahirkan penghargaan dan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua para penderma darah yang menderma secara sukarela, yang telah menyumbangkan darah mereka yang sangat bernilai untuk menyelamatkan nyawa insan-insan yang memerlukan, tanpa mengharapkan sebarang balasan.
Pada tahun ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bersama rakan-rakan kongsi serta seluruh komuniti global bersatu meraikan Hari Penderma Darah Sedunia dengan membawa tema dan slogan 'Give Blood, Give Hope : Together We Save Lives' atau 'Derma Darah, Beri Harapan : Bersama Kita Membantu Menyelamatkan Nyawa.
Perkara berkenaan dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Hari Penderma Darah Sedunia 2025.
Yang Berhormat seterusnya mengongsikan slogan kempen berkenaan mengetengahkan impak sumbangan penderma darah yang telah membawa perbezaan yang besar dan memberikan anugerah kehidupan dengan membawa harapan baharu kepada golongan yang memerlukan dengan setiap satu kehidupan adalah berharga dan layak diselamatkan.
Tema berkenaan juga tambah Yang Berhormat lagi, bertujuan untuk meraikan aktiviti kemanusiaan dalam meningkatkan perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat agar kekal bersatu dan bertanggungjawab untuk menyelamatkan nyawa melalui pendermaan darah tanpa mengira budaya, agama dan bangsa.
Kempen ini juga kata Yang Berhormat, diharap dapat memberi inspirasi kepada orang ramai yang layak khususnya golongan belia, untuk mula menderma darah dengan mengetengahkan kisah individu yang telah diselamatkan melalui pemindahan darah, serta pengalaman peribadi daripada para penderma sendiri.
Yang Berhormat juga mengongsikan objektif khusus sambutan Hari Penderma Darah Sedunia pada tahun ini bukan sahaja untuk merakamkan penghargaan dan mengiktiraf penderma darah sukarela yang telah menyumbang secara signifikan kepada kesihatan dan kesejahteraan rakyat di negara ini, bahkan untuk mencapai matlamat-matlamat berikut, iaitu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keperluan menderma darah dan plasma serta impak positifnya terhadap kesejahteraan pesakit; dan menggalakkan penderma darah yang baharu mahupun sedia ada untuk menderma darah secara aktif demi memastikan bekalan darah yang mencukupi dan mampan.
Selain itu, ia juga jelas Yang Berhormat, bagi mengetengahkan impak positif pendermaan darah kepada kesihatan dan kesejahteraan orang lain dan mempromosi nilai-nilai perpaduan dan belas kasihan melalui pendermaan darah; dan menggalakkan sokongan berterusan daripada agensi-agensi kerajaan dan rakan-rakan kongsi untuk terus bekerjasama ke arah program darah kebangsaan yang mampan, bagi mencapai akses universal kepada pemindahan darah yang selamat.
“Alhamdulillah, aktiviti-aktiviti dan kempen pendermaan darah rancak diadakan secara berterusan di Negara Brunei Darussalam (NBD). Kementerian Kesihatan melalui Pusat Pendermaan Darah di Jabatan Perkhidmatan Makmal sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, institusi-institusi pendidikan, pasukan seragam, sektor swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menyelaraskan dan mengendalikan kempen-kempen pendermaan darah di semua daerah di negara ini.
“Pada 2024, Pusat Pendermaan Darah telah mencatat sebanyak 17,380 kutipan darah yang disumbangkan oleh 13,393 penderma darah, termasuk 3,774 penderma darah baharu yang berdaftar.
“Alhamdulillah, NBD telah mencapai kadar pendermaan darah sebanyak 2.9 peratus pada 2024 sejajar dengan trend pencapaian yang konsisten sejak dari 2014. Pencapaian ini adalah juga seperti yang telah disarankan oleh pihak WHO, iaitu pencapaian tahunan jumlah penderma darah dalam lingkungan satu hingga tiga peratus dari jumlah keramaian penduduk bagi memenuhi keperluan negara dalam menangani situasi kecemasan," ujar Yang Berhormat.
Dalam memastikan pencapaian berkenaan sentiasa dikekalkan, Yang Berhormat juga menjelaskan Pusat Pendermaan Darah akan terus proaktif dalam mempelawa dan menggalakkan penganjuran kempen-kempen pendermaan darah secara sukarela, dengan tujuan bagi memperkasa dan memperluaskan lagi aktiviti seumpamanya.
Di samping itu kata Yang Berhormat, Pusat Pendermaan Darah di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan Tabung-tabung Darah di semua hospital daerah juga terus berusaha untuk menyediakan bekalan darah dan produk darah yang mencukupi dan selamat, yang merupakan salah satu komponen yang penting dalam memastikan keberkesanan sistem kesihatan di negara ini.
Yang Berhormat turut mengongsikan usaha Kementerian Kesihatan untuk memastikan akses universal kepada pemindahan darah yang selamat di negara ini iaitu sebuah projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 (RKN12) dalam pembinaan Pusat Darah Kebangsaan (National Blood Centre) telah pun diluluskan.
Pusat berkenaan tambah Yang Berhormat lagi, akan menyediakan persekitaran yang selamat dan kondusif bagi menempatkan sebuah 'suite' pendermaan darah termasuk ruang pemeriksaan berasingan dan ruang rehat yang khusus bagi meningkatkan aksesibiliti penderma darah dan keramaian penderma 'walk-in'.
Di samping itu kata Yang Berhormat, pusat berkenaan akan dilengkapi dengan fasiliti makmal yang terlibat dalam pendermaan darah 'centralised laboratories for blood donation testing' seperti Makmal Saringan Pendermaan Darah, Makmal Pemprosesan Darah, Makmal Pemeriksaan Kualiti Darah serta ruang penyimpanan bekalan darah yang lebih teratur mengikut piawaian antarabangsa.
“Di kesempatan ini, Kementerian Kesihatan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada setiap penderma darah di NBD, iaitu wira-wira yang telah menyumbangkan masa dan tenaga secara sukarela demi untuk membantu menyelamatkan pesakit-pesakit yang memerlukan.
“Kementerian Kesihatan juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan, institusi pendidikan, pasukan-pasukan berseragam, sektor swasta dan NGO serta individu-individu perseorangan yang turut sama terlibat dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti dan menganjurkan Kempen-kempen Derma Darah selama ini.
“Tidak juga dilupakan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pegawai dan kakitangan di Pusat Pendermaan Darah, Hospital RIPAS; dan Tabung-tabung Darah di Jerudong Park Medical Centre (JPMC); Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait; Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong; dan Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Temburong atas usaha yang berterusan dan tidak henti-henti dalam memastikan bekalan darah yang selamat sentiasa mencukupi.
“Semoga segala sumbangan ikhlas dan budi baik akan mendapat balasan dari Allah Subhanahu Wata'ala jua," kata Yang Berhormat.
Sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia ini, Yang Berhormat mengajak semua untuk bersama-sama meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perpaduan dan semangat kebersamaan dalam usaha memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi dan selamat, melalui aktiviti-aktiviti pendermaan darah secara sukarela dan berterusan.
Hanya dengan ini jelas Yang Berhormat, akses kepada bekalan darah yang mencukupi dan tepat pada masanya akan dapat terus dinikmati oleh para pesakit yang memerlukannya.
“Saya juga menyeru dan menggalakkan individu yang belum pernah menderma darah untuk tampil dan menyertai usaha mulia ini demi kebaikan dan kesejahteraan bersama," ujar Yang Berhormat lagi.
Orang ramai bolehlah mengikuti laman akaun sosial rasmi, iaitu Facebook : 'bloodbankripas.brunei' atau Instagram '@bloodbank_ripas' untuk mengetahui maklumat terkini mengenai aktiviti-aktiviti Pusat Pendermaan Darah.
Bagi mendapatkan slot perjanjian menderma darah di Pusat Pendermaan Darah Hospital RIPAS, orang ramai bolehlah menempah slot melalui aplikasi BloodKad atau menghubungi di talian +673 2242424 sambungan 5745 atau 6001 atau +673 7440267 atau +673 7440277 (Hotline/WhatsApp).